PROLOG
Hari yang mendung memaksa gadis itu supaya beredar kerana sedar hujan bakal membasahi bumi tidak lama lagi . Sebaik tujuh langkah pergi meninggalkan kubur itu , gadis itu memandang ke belakang . Teringat akan pesanan ustazahnya di sekolah , bahawa sebaik tujuh langkah orang terakhir melangkah pergi , malaikat mungkar dan nakir terus bertanya beberapa soalan yang telah sekian lama bocor di dunia . Semoga abah dapat jawab dengan baik , bisik hati kecilnya .
“Su , jom balik cepat . Mak kamu panggil tu”,ucap Pak Long Hamid yang setia menemaninya sedari tadi . Kasihan hatinya melihat seorang gadis yang baru berusia 15 tahun telah menjadi yatim piatu . Sudahlah ibunya meninggal dunia sebaik dia menjenguk dunia , kini ayahnya pula menyusul setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya .
Suhaila mengeluh berat . Jika diikutkan hati , mahu sahaja dia duduk di sisi kubur ayahnya untuk menemani ayahnya di saat hari mendung begini , apatah lagi ayahnya sedang berseorangan kini . Namun apakan daya , dia kena terima qada’ dan qadar Allah dengan redha kerana sesungguhnya setiap yang ada di muka bumi ini pasti akan merasai mati , cuma masa sahaja yang menentukan .
Dengan berat hati , Suhaila mengekori pak longnya masuk ke dalam kereta . Dia dapat melihat ibu tirinya sedang berpeluk tubuh . Matanya sengaja dihalang dengan kaca mata hitam . Mahu menyembunyikan matanya yang sembab menangis mungkin . Atau , mahu menyorokkan rasa gembira di hati dengan pemergian ayahnya . Ah , bukan dia tidak tahu Puan Faridah bukannya ikhlas menjadi isteri abah . Dia menjadi isteri abah hanya kerana harta , bukannya cinta .
Kakak tirinya pula kelihatan sedang ralit bermain mesej pada hari pemergian abahnya . Sesekali Julia tersengih membaca mesej yang diterima . Entah daripada siapa dia tidak tahu . Namun , walaupun sekadar pemergian ayah tiri , Julia tidak sepatutnya menunjukkan reaksi tanpa perasaannya . Orang lain bersedih , dia boleh tersengih-sengih .
Tidak sampai beberapa minit , kereta milik Pak Long Hamid tiba di hadapan rumahnya . Keadaan hujan lebat di luar membuatkan Suhaila teragak-agak untuk turun daripada kereta . Tiba-tiba hatinya merindui abahnya . Sekiranya abah masih hidup , pasti abah akan berlari masuk ke rumah dan mengambil payung . Tapi kini , ayahnya sudah tiada .
“Hei Su , apasal kau tercongok lagi . Pergilah masuk dalam , ambil payung untuk aku dengan mak aku . Tu pun nak aku cakap ke”,ucap Julia dengan lagak sombongnya . Suhaila menarik nafas berat . Belum sempat pintu dibuka , Pak Long telah menegah .
“Tak payah . Pak Long ada payung . Tu , Julia ambil dekat belakang tu”,ucap Pak Long , seolah-olah membela aku . Aku memandang Pak Long sebagai ucapan terima kasih . Julia mendengus geram . Pak Long Hamid hanya mampu menggeleng melihat telatah anak saudara tirinya . Faridah pula kelihatannya dia tidak berkutik sedari tadi . Sedih mungkin .
Pak Long Hamid terus memandu pergi sebaik melihat tiga beranak itu sudah masuk ke dalam rumah . Dia dapat melihat dengan jelas , hanya Faridah dan Julia sahaja yang berteduh di bawah payung . Sedangkan Suhaila dibiarkan kebasahan bermandi hujan lebat yang disertai guruh itu . Kasihan Suhaila . Pak long harap kamu bersabar ye nak , ucap Pak Long Hamid di dalam hati .
Suhaila terasa kekok . Janggal rasanya apabila hanya tinggal bertiga sahaja dengan keluarga tirinya . Mak Cik Faridah yang sedari tadi memakai kaca hitam terus menanggalkan kaca hitamnya . Tidak semena-mena , telinga Suhaila ditarik kuat . Berair mata Suhaila akibat menahan sakit .
“Cik Idah , sakit . Sakit Cik Idah”,ucap Suhaila sambil menangis teresak-esak . Puan Faridah tersenyum sinis . Makin sakit Suhaila , makin senang hatinya melihat gadis itu menahan sakit .
“Kau nak pergi mana?”ucap Puan Faridah sambil tangannya masih ligat memiat telinga anak tirinya . Suhaila yang teresak-esak menangis tidak dihiraukan . Julia yang menjadi pemerhati bagaikan menyokong penuh tindakan ibunya .
“Su…Su…nak masuk bilik”,ucap Suhaila . Telinga Suhaila dilepas kasar . Suhaila mengusap-usap telinganya yang terasa sakit dengan tangisan yang masih bersisa .
“Hei budak tak guna , aku nak kau bawa keluar semua barang-barang kau . Kau dah tak boleh duduk bilik tu lagi . Bilik tu tak layak untuk kau . Kau cuma layak duduk dekat stor tu aje . Faham tak?”,kepala Suhaila ditunjal sehingga gadis itu jatuh bersimpuh . Tangis Suhaila kembali kedengaran . Puan Faridah dan Julia tersenyum sinis meninggalkan Suhaila yang masih bersimpuh . Sempat lagi Julia menunjal kepala Suhaila.
Ya Allah , kau tanamkanlah ketabahan dalam hatiku . Kau jadikanlah aku hambaMu yang sentiasa bersabar kerana aku tahu Engkau sentiasa bersama dengan hambaMu yang sabar , doa Suhaila dalam hati .
No comments:
Post a Comment
Jangan Lupa Komen!!